KUALA LUMPUR: Budaya membaca perlu bermula dari rumah bagi membentuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem pembacaan dengan menyediakan bahan bacaan selain menjadi contoh kepada anak-anak.
Katanya, amalan membaca tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai hobi, sebaliknya perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.
“Saya fikir ini adalah satu saranan yang sangat penting untuk keluarga. Jadi ia harus bermula dengan keluarga kemudian masyarakat dan anak-anak melihat apa yang kita baca.
“Jadi apabila mereka melihat dalam rumah itu sendiri, sudah ada bahan bacaan, buku, perpustakaan kecil, jadi saya sangat percaya budaya itu boleh terus diwujudkan.
“Ekosistem itu harus wujud. Barulah anak-anak kita tahu dan yakin bahawa ibu bapa mereka ini adalah pembaca dan mereka adalah sumber utama anak-anak di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di Perpustakaan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Tambahnya, budaya membaca turut menjadi asas kepada penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar kerana pendedahan kepada bahan bacaan dapat meningkatkan kemahiran memahami dan menggunakan pelbagai bahasa.
“Kita sangat percaya bahawa budaya membaca dalam ekosistem membaca dan penguasaan bahasa ini mesti diterapkan daripada awal.
“Bahasa Melayu wajib. Bahasa Inggeris wajib dan bahasa-bahasa lain mesti dikuasai oleh anak-anak. Sebab itu ekosistem bahasa ini kena jadi lunak. Maksudnya ada ruang untuk mereka memperteguhkan bahasa-bahasa mereka itu,” katanya.
Dalam program sama, Kementerian Pendidikan menerusi Perbadanan Kota Buku turut melancarkan Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca bagi memantau tahap pembacaan rakyat di seluruh negara.
Katanya, inisiatif itu memberi gambaran corak pembacaan masyarakat dalam membantu usaha merangka langkah bagi memperkukuh budaya membaca di negara ini.
“Ini memberikan kita gambaran tentang apa yang dibaca oleh rakyat di setiap negeri, berapa bahan yang telah dibeli dan bagaimana mereka membaca.
“Jadi data-data ini sangat penting untuk kita lihat dan kemudiannya mengambil inisiatif berterusan untuk memastikan mereka terus dipandu dengan bahan bacaan yang baik,” katanya – UTUSAN






