KUALA LUMPUR: Motif kejadian insiden tembakan di luar sebuah pusat hiburan di Jalan Telawi, Bangsar pada 22 April lalu dipercayai berpunca daripada dendam lama serta perebutan kawasan antara kumpulan jenayah terancang.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu melibatkan pergaduhan antara dua kumpulan sebelum satu das tembakan dilepaskan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata, tembakan tersebut mengenai bahagian perut seorang lelaki warga tempatan yang kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan dan risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah menerusi Bahagian operasi khas (D8) dan jenayah berat (D9) membawa kepada serbuan di sebuah hotel di Klang, Selangor.
“Dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan polis diterima,” jelasnya.
Menurutnya, pemeriksaan di bilik hotel berkenaan menemukan sepucuk pistol bersama peluru serta satu lagi objek menyerupai pistol yang dipercayai pistol tiruan.
“Kita percaya satu senjata api sebenar telah dirampas, manakala satu lagi masih dalam siasatan sama ada digunakan dalam kejadian atau sebaliknya berdasarkan kepada laporan forensik.
“Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dan 30-an serta mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Kumar, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada konflik lama selain perebutan kawasan antara kumpulan yang terlibat.
“Polis tidak menolak kemungkinan penglibatan kumpulan jenayah terancang dalam kes ini.
“Istilah kongsi gelap tidak lagi sesuai digunakan kerana ia tidak termaktub dalam peruntukan undang-undang semasa,” katanya.
Jelasnya, dalam konteks undang-undang, jenayah terancang merujuk kepada penglibatan dua atau lebih individu dalam kegiatan jenayah serius termasuk jenayah kekerasan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau lebih.
“Pada masa kini, kumpulan kecil yang terdiri daripada tiga hingga empat individu juga boleh dikategorikan sebagai kumpulan jenayah terancang sekiranya memenuhi elemen tersebut.
“Polis percaya kes berkenaan telah berjaya diselesaikan susulan penahanan kedua-dua suspek terbabit,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman sehingga 29 April bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN






