HULU TERENGGANU: Keindahan Tasik Kenyir yang luas dengan pulau-pulau kecil dan hutan hijau kini berdepan masalah apabila beberapa produk pelancongan utamanya tidak beroperasi dan terbiar.
Tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu pernah menjadi tarikan utama pelancong dengan pelbagai aktiviti seperti lawatan taman haiwan, rekreasi air dan keindahan alam semula jadi.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, beberapa lokasi tarikan utama seperti Taman Rama-Rama dan Taman Burung ditutup sejak beberapa tahun lalu yang dikatakan ‘ditutup sementara’ bagi tujuan membaik balik atau menaik taraf namun hingga kini tiada perkembangan jelas berhubung usaha berkenaan.
Apa yang tinggal struktur bangunan usang, laluan dipenuhi semak dan papan tanda pudar dimamah waktu.
Lebih menyedihkan, kawasan tersebut turut menjadi sasaran vandalisme dan kerosakan kemudahan awam yang menyakitkan mata.
PENGUNJUNG DATANG DENGAN HARAPAN
Pengunjung ke Tasik Kenyir meluahkan rasa kecewa apabila beberapa lokasi pelancongan utama ditutup kepada orang ramai. Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Azman Abu Bakar, 34, berkata beliau datang dengan harapan tinggi selepas melihat maklumat di media sosial yang menunjukkan banyak tempat menarik boleh dilawati.
Namun sebaik tiba, dimaklumkan beberapa taman telah lama ditutup.
“Kami hanya lalu dan tengok dari atas bot sahaja. Memang rasa kecewa sebab tidak dapat masuk,” katanya.
PEMAIN INDUSTRI RUGI
Penutupan beberapa lokasi tarikan turut menjejaskan pengusaha bot pelancong, sekali gus mengurangkan nilai pakej pelancongan ditawarkan kepada pengunjung.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Sulong Mustafa berkata, ketiadaan Taman Rama-Rama dan Taman Burung umpamanya, menjadikan pilihan aktiviti terhad.
“Dulu taman-taman ini antara sebab utama pelancong datang. Sekarang bila sudah tutup, kami hanya boleh tawarkan pemandangan semula jadi sahaja. Tasik Kenyir memang cantik, tetapi tempat singgah makin kurang,” katanya.
Keadaan itu menyukarkan pengusaha untuk bersaing dengan destinasi pelancongan lain yang menawarkan produk lebih pelbagai dan terurus.

TARIKAN baharu perlu dibangunkan di Tasik Kenyir.
Sementara itu, pengusaha bot laju, Amran Abdullah berkata penutupan beberapa produk pelancongan menjejaskan pakej short trip ditawarkan.
“Kami bergantung kepada lokasi singgahan, bila taman ditutup, kami terpaksa keluarkannya daripada senarai pakej,” katanya.
Beliau yang sudah enam tahun beroperasi berkata, Tasik Kenyir mempunyai potensi besar sebagai hab ekopelancongan, namun perlu pengurusan lebih efektif termasuk menarik taraf taman terbiar dengan konsep pelancongan pendidikan, konservasi dan pengalaman interaktif.
Penglibatan komuniti setempat juga penting bagi memastikan pembangunan pelancongan lebih mampan dan memenuhi kehendak pelancong semasa.
TARIKAN BAHARU
Pengusaha bot laju di Tasik Kenyir merayu agar lebih banyak produk pelancongan baharu dibangunkan bagi menghidupkan semula industri pelancongan di kawasan itu yang kini dilihat semakin perlahan.
Seorang pengusaha, Mohd. Ali Nor Mohd. Nordin, 39, berkata keadaan semasa memberi kesan besar kepada pendapatan mereka apabila ketiadaan tarikan baharu menyebabkan jumlah pelancong merosot.
“Sekarang ini memang sangat menjejaskan. Tiada destinasi menarik untuk dibawa, jadi pelancong pun berkurang. Kadang-kadang dapat RM80 pun susah, malah ada hari langsung tiada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, ramai pelancong yang hadir juga bertanya mengenai lokasi menarik, namun terpaksa dimaklumkan kebanyakan taman sudah lama ditutup.
“Pelancong kata Tasik Kenyir sebenarnya cantik, tapi sayang tidak diusahakan sepenuhnya. Kalau ada tarikan, pasti lebih ramai datang,” katanya.
Mohd. Ali Nor mencadangkan supaya pulau-pulau di Tasik Kenyir dibangunkan semula dengan produk baharu seperti mini zoo, taman orkid serta pembukaan semula Taman Rama-Rama dan Taman Burung.
Katanya, sebelum ini ada usaha membangunkan semula taman burung, namun terhenti kerana masalah dana dan sokongan.
“Kalau tiada pelancong, memang kami pulang kosong. Kalau ramai, semua boleh cari rezeki,” katanya. Ketika ini lebih 30 pengusaha bot laju bergantung sepenuhnya kepada kehadiran pelancong.
TUTUP SEMENTARA
Penutupan produk pelancongan utama seperti Taman Rama-Rama dan Taman Burung, langkah sementara bagi memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu sebahagian strategi kerajaan memastikan produk pelancongan kekal relevan, mampan dan berdaya saing.
“Kerajaan negeri melalui kerjasama agensi pelaksana seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) komited memperkukuh pembangunan pelancongan di Tasik Kenyir selaras kehendak pelancong.
“Penutupan sementara melibatkan kerja pemuliharaan, penambahbaikan dan pembangunan semula produk sedia ada,” katanya.
Katanya Taman Burung dalam perancangan pembangunan semula termasuk penambahbaikan fasiliti dan cadangan pembangunan produk baharu berkonsepkan taman ekstrem bagi menarik golongan belia dan pencinta aktiviti lasak.
Santuari Kelah sedang melalui proses pemuliharaan dan penambahbaikan, memastikan kelestarian habitat dan pengalaman pelawat yang lebih berkualiti.
Razali berkata, produk pelancongan berasaskan tasik seperti aktiviti Island Hopping akan terus diperkukuh sebagai tarikan utama melalui penambahbaikan pakej pelancongan, pemerkasaan pengusaha tempatan dan promosi lebih agresif.
Razali berkata Tasik Kenyir masih ada pelbagai tarikan alternatif seperti Air Terjun Lasir, Taman Herba, Taman Orkid, Gua Bewah, Melunak Trail dan Sungai Leban.
“Pembangunan semula itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan Tasik Kenyir kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara. Kami komited menjadikan Tasik Kenyir antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Terengganu akan datang melalui usaha berterusan termasuk penambahbaikan fasiliti, pemuliharaan sumber semula jadi dan pembangunan produk berpotensi tinggi.
Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara menyeluruh dan mampan. – UTUSAN






