PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung insiden tembakan yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu telah diserahkan semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, polis menunggu arahan serta nasihat daripada AGC berhubung tindakan lanjut.
Kumar berkata, beliau tidak dapat mengulas termasuk cadangan pertuduhan terhadap mana-mana individu.
“Kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC dan kita kini menunggu arahan serta nasihat lanjut daripada mereka. Perkara itu kini dalam kajian AGC,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, AGC dilaporkan sedang mengkaji dan meneliti kertas siasatan insiden tembakan yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah ditaklimatkan berhubung perkembangan siasatan kes oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
AGC sedang meneliti dan mengkaji kertas siasatan yang dikemukakan secara menyeluruh bagi menentukan sebarang arahan lanjut yang sewajarnya, sekiranya perlu.
AGC memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang ada, bagi memastikan proses keadilan terhadap semua pihak terpelihara. – UTUSAN






