KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi tumpuan serius kepada pembangunan teknologi tempatan, khususnya dalam industri pertahanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep kedaulatan negara tidak lagi terhad kepada sempadan dan aspek fizikal semata-mata, sebaliknya bergantung kepada peperangan moden yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta sistem siber.
Katanya, kedaulatan turut merangkumi keupayaan sesebuah negara untuk memiliki, mengawal dan membangunkan teknologi kritikal secara sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.
“Kita mesti membangunkan teknologi berdaulat dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. Institut seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan tempatan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum UPNM sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kebergantungan kepada teknologi asing boleh mendedahkan negara kepada pelbagai risiko termasuk gangguan sistem, kawalan tidak langsung terhadap infrastruktur kritikal serta ancaman keselamatan data strategik.
Menurut beliau, ia boleh memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara sekiranya berlaku konflik, sekatan teknologi atau gangguan rantaian bekalan daripada pihak luar pada masa depan.
“Universiti perlu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kritikal seperti AI, keselamatan siber, sistem autonomi dan teknologi digital pertahanan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara universiti, industri dan agensi kerajaan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada keupayaan sebenar yang boleh digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tambahnya, usaha membangunkan teknologi berdaulat bukan sekadar agenda pembangunan teknologi tetapi merupakan asas penting dalam mempertahankan kedaulatan, kebebasan dan keselamatan negara dalam jangka panjang. – UTUSAN






