PUTRAJAYA: Kerajaan sekali lagi mengesahkan bahawa 52.311 juta liter diesel yang dihantar ke Filipina bukan hasil minyak yang dicari gali di Malaysia.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, minyak itu bukan diperolehi dari mana-mana telaga minyak yang beroperasi di negara ini.
“Minyak yang sampai ke Filipina tu bukan minyak dari perut bumi Malaysia. Disahkan,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Isu penghantaran minyak ke Filipina baru-baru ini menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat khususnya ketika negara berdepan krisis tenaga dan kekurangan bekalan bahan api.
Media sebelum ini melaporkan, dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia menghantar bekalan diesel ke Filipina sebagaimana tular dalam media sosial adalah tidak benar.
Difahamkan, bekalan diesel terbabit bukan diproses oleh PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.
Penjelasan sama turut diberikan oleh pihak PETRONAS dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) malah, dua entiti mengesahkan minyak itu bukan milik Malaysia. – UTUSAN






