GEORGE TOWN: Paras air di Sungai Muda dilaporkan susut sehingga ke tahap membimbangkan apabila mencecah paras bahaya iaitu 1.27 meter di muka sauk Lahar Tiang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, situasi itu dikesan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semalam iaitu jauh lebih rendah berbanding paras selamat 2.0 meter.
Menurut beliau, susulan keadaan tersebut, kapasiti pengambilan air mentah oleh PBAPP terpaksa dihadkan kepada kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH), berbanding 1,300 JLH dalam keadaan normal.
“Bagi memastikan bekalan air tidak terjejas, PBAPP segera mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda (SMCP) dengan melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan.
“Sebanyak 300 JLH air dilepaskan bagi menampung keperluan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang merupakan loji terbesar di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanpun katanya, setakat ini, tiada gangguan bekalan air dilaporkan melibatkan kira-kira 465,000 pengguna di seluruh negeri termasuk kawasan Seberang Perai dan bahagian pulau.
LRA Sungai Dua memainkan peranan penting dengan menghasilkan purata 1,100 JLH air terawat untuk kegunaan harian di lima daerah utama di Pulau Pinang.
Pathmanathan berkata, penyusutan berkenaan mungkin berpunca daripada pelepasan air bagi tujuan pengairan di negeri jiran, Kedah, di bahagian hulu sungai berkenaan.
“PBAPP tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pelepasan tersebut, sekali gus memberi kesan langsung kepada paras air di muka sauk Lahar Tiang,” katanya.
Beliau berkata, kapasiti Empangan Beris kini berada pada tahap 49.6 peratus dengan kadar pelepasan sekitar 864 JLH, yang dijangka hanya mampu bertahan selama 70 hari sebelum mencapai paras kritikal.
“Sementara itu, satu lagi sumber utama iaitu Empangan Muda dilaporkan berada pada paras amat rendah iaitu hanya 9.5 peratus, sekali gus mengehadkan keupayaan pelepasan air ke sistem Sungai Muda,” katanya.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) digesa segera campur tangan mengawal pengurusan sumber air di Sungai Muda. – UTUSAN






