ALOR GAJAH: Kerajaan memperhebat langkah pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) yang ketika ini berada pada paras sekitar 33.4 peratus dengan sasaran menurunkannya kepada 28 peratus menerusi pelbagai intervensi termasuk geran dan projek naik taraf infrastruktur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan kecekapan pengurusan air negara dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, antara pendekatan utama yang dilaksanakan termasuk penyaluran geran kepada negeri-negeri yang mencatat kadar NRW tinggi, selain mekanisme geran padanan (matching grant) bagi memberi insentif berdasarkan pencapaian pengurangan kadar tersebut.
“Sekiranya sesebuah negeri berjaya mengurangkan NRW pada tahap tertentu, kerajaan akan menyalurkan semula bantuan berdasarkan peratusan pencapaian itu.
“Justeru, Dasar Air Negara yang dilaksanakan menjadi kerangka utama dalam menyelaras pengurusan air melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk menangani cabaran NRW.
“Kita menyasarkan untuk mengurangkan kadar NRW kepada sekitar 28 peratus berbanding purata kebangsaan ketika ini iaitu kira-kira 33.4 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, walaupun Malaysia tidak berdepan krisis kekurangan air, pengurusan NRW yang tidak cekap boleh meningkatkan kos rawatan air serta memberi tekanan kepada sistem bekalan sedia ada.
“Air mungkin mencukupi, tetapi jika tidak diurus dengan baik, ia akan meningkatkan kos dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat. Sebab itu kita perlu pastikan air yang sampai kepada pengguna adalah bersih, selamat dan mampu dibayar,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan Dasar Air Negara menjadi kerangka utama dalam memperkukuh tadbir urus sektor air negara, termasuk penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sektor swasta dan komuniti.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi pintar, inovasi digital serta pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan terus diperkasa bagi meningkatkan kecekapan sistem pengurusan air negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 21 projek berkaitan air dengan kos keseluruhan RM3.1 bilion telah diluluskan untuk Melaka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Ke-13 (RMK13).
Selain itu, katanya, beberapa projek mitigasi banjir kilat turut siap dilaksanakan termasuk di Kampung 6, Kampung 7, Jalan Parameswara dan kawasan sekitarnya dengan kos lebih RM10 juta.
Jelasnya, bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk memantau kemajuan serta menyelesaikan sebarang isu dengan segera. – UTUSAN






