PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Penahanan dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an telah ditahan antara pukul 3 dan 5 petang tadi dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Selangor sekitar Lembah Klang.
Seorang lagi berusia lingkungan 50-an ditahan pukul 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.
“Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.
Jelasnya, dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes selain rumah, hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
“Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk permohonan reman,” katanya. – UTUSAN






