JOHOR BAHRU: Tindakan sindiket penyelewengan diesel berselindung disebalik sebuah bengkel membaiki kenderaan di Taman Mount Austin, di sini tumpas selepas premis berkenaan diserbu pihak berkuasa, awal pagi tadi.
Serbuan pada pukul 2.30 pagi itu menyaksikan seramai tiga individu ditahan, terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan dua warga Indonesia berusia 30-an.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sindiket tersebut turut dikesan menyalahgunakan lapan keping ‘fleet card’ bagi memperoleh bahan api berkenaan.
“Dalam serbuan itu, kita berjaya rampas 11,500 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM58,880 selain 1,200 liter lagi ditemui dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) bernilai RM6,144,” katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi serbuan, di sini hari ini.
Turut disita sebuah tangki IBC berisi diesel, sebuah pam untuk mengepam minyak, peralatan hos, sebuah tangki treler, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori bonded serta empat unit tangki IBC yang berada dalam muatan lori.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti rangkaian sindiket serta modus operandi digunakan termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN






