IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan kebajikan guru terpelihara dengan memberi keutamaan kepada aspek pertukaran pasangan guru jarak jauh atau ‘duka lara’.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada keseluruhan pertukaran diluluskan setakat ini, 80 peratus permohonan pertukaran diterima adalah membabitkan pasangan
jarak jauh.
“Dalam konteks pasangan jarak jauh, kementerian sememangnya memberi keutamaan terhadap permohonan pertukaran.
“Sebab itu, sebanyak 80 peratus permohonan membabitkan pasangan jarak jauh dan berjaya diselesaikan manakala selebihnya melibatkan faktor kesihatan dan isu keselamatan yang turut diberi pertimbangan kementerian,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di sini semalam.
Pada majlis tersebut, seramai 95 guru dari seluruh negara menerima anugerah, manakala Dr. Velerie Wheelervon Primus, 37, menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan.
Fadhlina berkata, kementerian empati dan mengambilkira setiap keadaan dan situasi yang dihadapi guru-guru di negara ini.
Antara langkah diambil bagi memastikan kebajikan guru terus terbela khususnya melibatkan pasangan jarak jauh ialah dengan memendekkan tempoh permohonan pertukaran.
“Jika sebelum ini proses berkenaan mengambil masa agak lama, kini kita tukar dan berikan kelonggaran untuk memohon pertukaran selepas tempoh dua tahun berkhidmat.
“Kita amat memahami situasi yang dihadapi guru-guru dan sentiasa mengambil kira setiap permohonan dikemukakan bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Mengenai isu kekosongan jawatan guru besar dan pengetua, beliau berkata, KPM berjaya menyelesaikan kekosongan membabitkan kira-kira 50 jawatan berkenaan.
“Dalam melaksanakan reformasi sekolah dan menangani isu keselamatan dan pengurusan harian, sesebuah sekolah tidak boleh beroperasi tanpa pengetua atau guru besar.
“Saya minta Ketua Pengarah dan KSU meneliti dan mempergiat usaha dan komitmen bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, katanya keliruan berkaitan permohonan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) Kursus Dalam Cuti (KDC) melibatkan guru lantikan Contract of Service (COS) telah selesai. – UTUSAN






