PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan undang-undang khusus bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan masjid serta surau.
Menurut MAIWP, pihaknya sememangnya telah mempunyai peruntukan undang-undang dan mekanisme kawal selia sedia ada berkaitan pengurusan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Antara peruntukan berkaitan termasuk Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], khususnya Bab VII berkaitan masjid.
“Ia turut melibatkan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019, Garis Panduan Kewangan Masjid dan Surau Wilayah-Wilayah Persekutuan serta Garis Panduan Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Surau) 2023,” menurut kenyataan itu.
MAIWP berkata, pemantauan turut dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau bagi memastikan pengurusan institusi berkenaan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“MAIWP komited untuk memastikan tadbir urus institusi masjid dan surau sentiasa telus, berintegriti dan berada pada tahap terbaik.
“Sehubungan itu, MAIWP akan terus mengkaji dari semasa ke semasa keperluan penambahbaikan terhadap undang-undang, peraturan dan garis panduan sedia ada.
“Pada masa sama, aspek penguatkuasaan juga akan terus diperkasa dan dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, MAIWP turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk SPRM.
“Kerjasama ini penting bagi memperkukuh integriti serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN





