PETALING JAYA: Beberapa peniaga gerai makanan di Medan Selera Jaya 223 di sini terpaksa menanggung kerugian besar mencecah RM20,000 selepas premis mereka ditenggelami banjir kilat, petang kelmarin.
Peniaga, Jamaliah Yusoff, 62, berkata, dia kini buntu memikirkan modal untuk memulakan semula perniagaan selepas hampir keseluruhan kedainya musnah dalam kejadian yang dianggap paling buruk pernah dialami.
“Air naik terlalu cepat, dalam masa 15 minit sahaja sudah sampai paras leher sehingga kami terpaksa berpaut pada meja kerana takut dihanyutkan arus deras.
“Apabila air surut, mesin pengisar, perabot kedai yang patah serta stok makanan seperti 40 kilogram beras dan sambal yang baru dimasak habis hanyut. Kerugian bagi peralatan dan kereta sahaja sudah mencecah RM20,000,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi kenyataan memaklumkan, kawasan yang dikenal pasti mengalami limpahan air dalam kejadian banjir kilat itu ialah lokaliti sepanjang koridor Sungai Penchala (Seksyen 51, 17 dan 19) serta kawasan berhampiran Sungai Klang yang melibatkan Taman Medan, Sri Manja dan Buana Perdana.
Katanya, hasil pemantauan mendapati kejadian banjir kilat itu berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi bermula dari kawasan hulu (upstream) di Kuala Lumpur. Bacaan hujan direkodkan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh singkat yang diklasifikasikan sebagai hujan sangat lebat.
Seorang lagi peniaga, Dasuki Mat Jusoh, 58, berkata, banjir kali ini dianggapnya sebagai ‘bencana luar biasa’ apabila air naik melebihi paras dada dalam masa hanya satu jam.
Katanya, dia mengalami kerugian sekitar RM3,000 selepas stok bahan mentah seperti kambing, daging, ayam dan tulang rosak akibat tercemar dengan air banjir.
“Kejadian berlaku pukul 3 petang. Kami langsung tidak sempat selamatkan barang. Malah, beberapa kenderaan pelanggan dan pekerja turut ditenggelami air. Dalam masa dua bulan, sudah empat kali kami dilanda banjir, tapi kali ini yang paling dahsyat,” jelas.
Dasuki mendakwa, kekerapan banjir di kawasan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kerja-kerja pembinaan jalan serta sistem perparitan yang tersumbat berhampiran lebuh raya berdekatan.
“Maklumat daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyatakan kerja mengorek jalan menyebabkan longkang tersumbat. Apabila aliran air tersekat, air melimpah dengan sangat pantas ke kawasan gerai kami.
“Kami ini hanya peniaga kecil-kecilan. Jika setiap minggu perlu berdepan banjir dan membeli semula barang yang rosak, kami memang sudah tidak mampu lagi,” jelasnya. – UTUSAN





