KUALA NERUS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melepaskan 32 ekor hidupan liar pelbagai spesies di Pulau Redang, dekat sini sebagai usaha memperkaya biodiversiti dan memperkukuh ekosistem di pulau peranginan terkenal itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pelepasan tersebut melibatkan beberapa spesies termasuk burung helang merah dan helang hindek, pelanduk, landak serta ayam hutan.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan populasi hidupan liar di kawasan berkenaan terus berkembang dan terpulihara untuk generasi akan datang.
“Kita berharap spesies yang dilepaskan ini dapat menyesuaikan diri dengan habitat baharu serta berkembang biak demi memastikan kelangsungan konservasi hidupan liar negara.
“Usaha ini juga bertujuan memperkaya lagi ekosistem hutan di Pulau Redang yang menjadi antara destinasi pelancongan utama negara,” katanya selepas program pelepasan hidupan liar di Taman Laut Pulau Redang sempena sambutan Hari Laut Sedunia anjuran Jabatan Perikanan dengan kerjasama Aquawalk Sdn. Bhd.
Abdul Kadir berkata, Perhilitan sentiasa komited melaksanakan aktiviti pelepasan haiwan liar di habitat yang sesuai sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, antara spesies lain yang sering dilepaskan semula ke habitat semulajadi ialah rusa, kijang, seladang, tenggiling dan harimau kumbang.
“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan sebelum ini termasuk program pelepasan hidupan liar di Pulau Langkawi, Kedah, haiwan yang dilepaskan didapati mampu menyesuaikan diri dengan baik di habitat baharunya.
“Kita berharap masyarakat turut memainkan peranan dalam melindungi hidupan liar dan segera melaporkan sebarang aktiviti pemburuan haram kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perikanan turut melepaskan 570 ekor anak penyu agar ke laut sebagai simbolik sambutan Hari Laut Sedunia.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, Penyu Agar adalah spesies penyu yang paling banyak mendarat untuk bertelur di perairan negara, khususnya di Terengganu selain0 1.07 juta telur penyu dieramkan daripada 13,180 sarang di negeri ini sepanjang tahun lalu.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 757,869 ekor anak penyu dilepaskan semula ke laut sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan spesies berkenaan,” katanya. – UTUSAN






