KUALA LUMPUR: Tindakan kejam kes memukul seorang pelancong warga China bertubi-tubi menggunakan tali pinggang dan objek tumpul selain mengurung serta memaksanya memindahkan wang di sebuah kondominium di Genting Highlands, akhirnya terbongkar.
Usaha untuk menyelamatkan mangsa culik tersebut bertukar menjadi igauan ngeri apabila sembilan individu yang cuba membantunya pula ditahan polis atas dakwaan menyamun.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian tersebut pada akhir bulan Mei lalu beserta satu klip video penderaan yang menyayat hati.
Katanya, kejadian itu disangka berlaku di pusat penipuan luar negara seperti di Myawaddy atau Kemboja.
“Kami terkejut apabila mendapati kekejaman itu sebenarnya berlaku di salah sebuah pusat peranginan terkenal di dalam negara.
“Mangsa merupakan seorang lelaki warga China berusia 39 tahun yang tiba di Malaysia pada 20 Mei sebelum dikurung secara salah pada 22 Mei oleh sindiket yang dipercayai berkaitan dengan ceti haram.
“Semasa aktivis MHO bergegas ke lokasi kejadian dan mengetuk pintu dengan menyamar sebagai penghantar makanan, mereka mendengar mangsa menjerit “Jiu wo” bagi meminta tolong dan melihat dia sedang dipukul,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka tidak mempunyai pilihan selain terus merempuh masuk untuk menyelamatkan mangsa dan membawanya ke Balai Polis Genting Highlands.
“Usaha murni itu disalah tafsir apabila kesemua sembilan aktivis MHO yang terlibat termasuk penasihat undang-undang direman oleh pihak berkuasa.
“Penahanan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dibuat berikutan tiga ahli sindiket terbabit bertindak membuat laporan polis palsu yang mendakwa aktivis berkenaan menyamun dan memukul mereka.
“Para aktivis telah merampas telefon bimbit milik ahli sindiket untuk diserahkan kepada pihak polis bagi mengelakkan bahan bukti penting tersebut daripada dilupuskan.
Katanya, mangsa culik yang diselamatkan turut ditahan di dalam lokap bersama-sama kumpulan aktivis terbabit untuk siasatan lanjut.
“Ketiga-tiga ahli sindiket berkenaan akhirnya telah menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap MHO pada 10 Jun lalu.
“Mereka memberikan alasan penarikan laporan itu dibuat dengan rela hati untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik dan tanpa sebarang paksaan.
“Saya terkilan dengan penahanan reman tersebut yang disifatkannya sebagai kurang wajar memandangkan pihak MHO yang menyelamatkan mangsa dan memanggil pihak polis,” katanya. – UTUSAN



