PETALING JAYA : Penempatan dan premis perniagaan haram warga asing sekitar Kuala Lumpur termasuk Rohingya di Selayang akan digempur dalam operasi bersepadu yang lebih komprehensif oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Mengakui isu warga asing di ibu kota itu kini sebagai mendesak, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, menegaskan operasi dengan kerjasama semua agensi berkaitan boleh memberi impak yang lebih besar dalam menangani isu penempatan haram warga asing terutamanya Rohingya yang telah lama menjadi perhatian penduduk di Selayang.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan, DBKL mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bukan berdasarkan penilaian kepada siapa dalang, kumpulan, kartel atau gengster di sebalik melindungi penempatan dan perniagaan haram warga asing.
“Kita tidak melihat siapa gengster atau siapa yang berada di belakangnya. Kita melaksanakan tindakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP). Jika berniaga tanpa lesen, kita ambil tindakan kerana berniaga tanpa lesen.

Operasi bersama MPS turut dirangka menerusi Ops Selayang bagi menangani isu Rohingya, terutama melibatkan penempatan dan pembabitan dalam perniagaan.
“Sebagai contoh, bagi penempatan Rohingya, DBKL menjalankan tinjauan dan mengenal pasti lokasi terlibat.
“Bagi tanah milik persendirian yang digunakan untuk tujuan tersebut, amaran dikeluarkan kepada pemilik tanah supaya mengambil tindakan sewajarnya dan tidak membenarkan pembinaan bangunan tanpa kebenaran,” katanya.
Dalam aspek penguatkuasaan, Fadlun berkata, apabila sesebuah bangunan didirikan tanpa kebenaran, suatu kesalahan telah dilakukan dan tindakan boleh diambil terhadap pemilik tanah terbabit.
“Sekiranya bangunan tersebut digunakan sebagai kuarters atau penginapan pekerja, satu lagi kesalahan boleh berlaku sekiranya tiada kelulusan menukar penggunaan premis daripada kediaman persendirian kepada kuarters.
“Dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa DBKL, tindakan akan diambil berdasarkan akta dan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Fadlun berkata, isu yang melibatkan warga asing tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh DBKL biarpun pihaknya sentiasa melaksanakan operasi termasuk terhadap aktiviti perniagaan oleh warga asing.
“DBKL telah melaksanakan ribuan operasi penguatkuasaan berkaitan warga asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun lalu sahaja, lebih 4,000 operasi telah dijalankan, manakala sehingga Mei tahun ini, sebanyak 1,500 operasi dilaksanakan,” katanya.
Penguatkuasaan dilaksanakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang kecil, perintah dan peraturan di bawah bidang kuasa DBKL.
Beliau turut mengakui isu warga asing sering mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat sehingga ada pihak menuduh DBKL gagal menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan.
Bagaimanapun, pihaknya menerima kritikan yang disuarakan rakyat secara terbuka, termasuk menerusi media sosial.
“Terima kasih kepada mereka yang memberi input kepada DBKL. Sekurang-kurangnya kita mendapat maklumat tentang apa yang berlaku di lapangan dan perkara itu membantu kita melakukan penambahbaikan,” katanya.
Setiap aduan yang diterima akan disemak dan tindakan segera akan diambil sekiranya berada di bawah bidang kuasa DBKL.
“Kita melihat perkara ini daripada sudut positif. Tindak balas pantas terhadap aduan membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha menangani isu penempatan Rohingya dan warga asing di Selayang serta kawasan sekitar ibu negara,” katanya. – UTUSAN





