KUANTAN: Kerja pembinaan semula jambatan yang runtuh di Lorong Indera Mahkota 19, Taman Shahzan di sini, dijangka bermula dalam masa terdekat apabila kontraktor bagi projek itu dijadual dilantik pada pertengahan bulan depan.
Ahli Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, proses penyediaan dokumentasi bagi projek berkenaan kini hampir selesai selepas melalui penilaian teknikal dan penyediaan kertas kerja.
Katanya, hasil pemeriksaan bersama pihak konsesi mendapati struktur jambatan sedia ada tidak lagi selamat digunakan dalam tempoh jangka panjang.
“Penyelesaian yang diputuskan bukan sekadar membaiki kerosakan kecil, sebaliknya membina semula jambatan menggunakan kaedah jambatan pembetung gerbang yang lebih kukuh dan selamat. Proses ini mengambil sedikit masa kerana melibatkan semakan teknikal, dokumentasi dan permohonan peruntukan memandangkan kos pembinaannya agak tinggi.
“Sekiranya semua proses berjalan lancar, kerja pembinaan dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan bulan bergantung kepada keadaan di tapak,” katanya kepada Nexbyte di sini, semalam.
Menurut Nik Mohd. Ridzuan, pihaknya sudah mengadakan sesi Dialog Komuniti Anak Muda bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Shahzan, sebelum ini.
“Isu jambatan itu menjadi antara perkara utama dibangkitkan penduduk dalam sesi dialog berkenaan selain masalah cerun di belakang kawasan perumahan tersebut yang kini sedang diambil tindakan oleh pihak konsesi.
“Saya memahami keresahan penduduk kerana isu ini memberi kesan kepada kehidupan harian mereka. Saya berharap mereka dapat terus bersabar dan memberi kerjasama sepanjang proses pembinaan dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihak KRT turut mencadangkan supaya palang had ketinggian dipasang di laluan jambatan berkenaan bagi mengawal pergerakan kenderaan berat yang dipercayai menjadi antara faktor memberi tekanan kepada struktur sedia ada.
Sebelum ini, Nexbyte melaporkan kira-kira 700 buah rumah di Taman Shahzan terjejas selepas jambatan yang menjadi laluan utama penduduk runtuh akibat mendapan tanah susulan hujan lebat pada November tahun lalu.
Kejadian itu memaksa penduduk menggunakan hanya satu laluan keluar masuk kawasan perumahan sehingga menyebabkan kesesakan terutama pada waktu puncak, selain menjejaskan operasi perniagaan di kawasan berhampiran. – UTUSAN






