BATU PAHAT: Barisan Nasional (BN) menggesa semua pihak menghentikan sebarang bentuk sekatan terhadap kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan sebaliknya bertanding secara adil berlandaskan semangat demokrasi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan menyekat platform media sosial dan bahan kempen parti tidak sepatutnya berlaku dalam persaingan politik yang sihat.
“Tetapi apabila ada PRN di Johor dan Negeri Sembilan, janganlah tekan-tekan okay, janganlah sekat-sekat, nak masuk ‘kandang’ pun tidak boleh.
“Jumpalah dalam telanggang dengan gentleman, apa kita punya Facebook kena sekat, lagu kita di TikTok pun kena sekat, gentlemanlah lawan hingga menang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan Parit Raja di Tanjung Simpang, Tongkang Pechah, semalam.
Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN bukan sebuah parti yang lahir di jalanan tetapi iai ditubuhkan secara rasmi di Istana Johor.
“Ertinya UMNO dan BN bukan parti jalanan, bukan parti demonstrasi serta bukan parti anak-beranak. Kita adalah parti masa depan, parti seluruh rakyat Malaysia demi rakyat ke seluruh rakyat
“Kita tidak dendam, marah-marah, sindir-sindir dan tidak kata sama-sama budak-budak,” katanya.
Beliau berkata, UMNO dan BN akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal ini dan memberi komitmen untuk melaksanakan perkara penting demi kebaikan rakyat.
Mengulas mengenai sokongan Pas, Ahmad Zahid berkata, BN mengalu-alukan sokongan dan undi daripada ahli Pas.
Katanya, BN berharap seruan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu dapat diterjemahkan menerusi undi di peti undi.-UTUSAN






