PETALING JAYA: Majlis Ulama UMNO bersedia memberi panduan kepada kepimpinan parti dalam memeterai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi mendepani pilihan raya akan datang.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Khairuddin Takiri berkata, kenyataan UMNO selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam memaklumkan bahawa parti itu terbuka untuk menjalin kerjasama politik.
Beliau berkata, ia bererti UMNO terbuka untuk bekerjasama dengan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun mana-mana parti lain, bergantung kepada tawaran yang menguntungkan kedua-dua pihak.
“Tentu sahaja pertimbangan utama ialah kepentingan Islam dan kemaslahatan rakyat. Dan tentu sahaja asasnya ialah kerjasama atas dasar kebajikan serta takwa sebagaimana tuntutan al-Quran.
“Sebarang kerjasama tentu sahaja dengan terma perjanjian yang bersifat menang-menang untuk semua. Perjanjian boleh dimulai dan boleh sahaja dirungkai tetapi dalam kedua-dua keadaan hendaklah bermula serta berakhir dengan akhlak Islam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau sendiri akan turut membantu menerusi Majlis Ulama UMNO bagi memberi nasihat dan panduan terbaik dalam sebarang perjanjian kerjasama demi kemaslahatan Islam serta umat.
“Sementara itu, Kerajaan Perpaduan yang diasaskan bersama terus didokong dan diperkasakan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya. – UTUSAN




