LUMUT: Peniaga di pekan Lumut berharap lebih banyak program dan acara pelancongan dianjurkan di kawasan itu bagi merancakkan ekonomi setempat serta menarik lebih ramai pengunjung singgah sebelum atau selepas mengunjungi Pulau Pangkor.
Mereka berkata, pekan Lumut hanya meriah pada hujung minggu, cuti umum, cuti persekolahan atau ketika berlangsungnya acara tertentu, manakala kehadiran pengunjung pada hari bekerja masih rendah sehingga menjejaskan pendapatan peniaga.
Seorang peniaga hasil laut, Nurul Najwa Syahril, 26, berkata, jumlah pengunjung pada hari bekerja agak mengecewakan dan pelanggan ramai pada hujung minggu atau ketika cuti umum.
Katanya, sepanjang minggu biasa, suasana di kawasan perniagaan itu agak sunyi sehingga menjejaskan hasil jualan peniaga.
“Hari bekerja memang tidak ada orang. Kalau cuti umum atau hujung minggu barulah ramai sedikit.
“Selain itu, kalau ada acara atau program besar di kawasan ini, pengunjung pun bertambah,” katanya kepada Nexbyte.
Menurutnya, harga hasil laut yang dijual di pekan Lumut lebih murah berbanding di Pulau Pangkor, namun kebanyakan pelancong tetap memilih untuk membeli-belah di pulau peranginan berkenaan.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana ramai pengunjung lebih tertarik ke Pangkor yang menawarkan pelbagai produk bebas cukai seperti coklat, minyak wangi dan barangan lain.
Seorang lagi peniaga, Christopher Nick, 20, berkata, kehadiran pengunjung banyak bergantung kepada musim cuti dan penganjuran acara.
Menurutnya, kawasan perniagaan di Lumut hanya dipenuhi orang ramai ketika cuti umum, hujung minggu atau apabila berlangsung program yang menarik kehadiran pengunjung.
“Kalau hari biasa memang macam ini sahaja. Bila cuti umum atau ada program, barulah ramai orang datang. Selain itu, memang agak sunyi,” katanya. – UTUSAN





