KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah baharu dalam landskap pertahanan negara menerusi pembangunan Birdie-X, iaitu sistem laser antidron pertama negara yang direka khas bagi menangani ancaman pesawat tanpa pemandu (UAS) yang semakin kompleks.
Pencipta senjata tersebut, Leftenan Kolonel Hairul Zaimy Ibrahim berkata, pembangunan sistem berteknologi tinggi itu tercetus daripada keperluan operasi semasa ekoran penggunaan dron yang semakin meluas dalam konflik moden hari ini.
Katanya, ancaman dron pada masa ini bukan sahaja melibatkan aktiviti pengintipan komersial, malah berpotensi besar untuk digunakan dalam melancarkan serangan fizikal terhadap aset-aset strategik milik negara.
“Projek berimpak tinggi ini dijayakan menerusi kolaborasi strategik antara TUDM, agensi penyelidikan di bawah Kementerian Pertahanan iaitu STRIDE dan syarikat industri pertahanan tempatan, Benua Defence Sdn. Bhd.,” katanya kepada Nexbyte di sini, semalam.
Hairul Zaimy yang juga Ketua Sekretariat Inovasi TUDM berkata, pembangunan Birdie-X dilaksana secara berfasa merangkumi kajian keperluan operasi, pembangunan konsep, reka bentuk sistem dan pembangunan prototaip sehinggalah kepada fasa ujian teknikal bagi memastikan sistem berfungsi secara optimum.
Mengenai keberkesanannya, beliau berkata, teknologi laser itu menawarkan keupayaan tindak balas yang pantas dan ketepatan tinggi terhadap sasaran berbanding sistem persenjataan konvensional.
Malah, katanya, sistem itu terbukti lebih efisien kerana menggunakan tenaga terarah untuk mengekang ancaman, sekali gus mengurangkan kos pengoperasian bagi setiap penglibatan sasaran dalam jangka masa panjang.
“Ujian pembuktian konsep (POC) dijalankan sebelum ini berjaya membuktikan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membina senjata sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada teknologi luar.
“Sistem Birdie-X ini bertindak sebagai pelengkap kepada strategi pertahanan sedia ada, terutamanya bagi mendepani ancaman dron bersaiz kecil, berprofil rendah dan sukar dikesan oleh radar tradisional,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan keselamatan orang awam dan infrastruktur sekitar terjamin, sistem senjata laser itu direka dengan pelbagai lapisan kawalan keselamatan ketat, termasuk prosedur pengesahan sasaran yang rapi.
“STRIDE turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan penilaian teknikal dan pengujian bagi memastikan Birdie-X memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa sebelum sedia digunakan dalam operasi sebenar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, projek tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan dan dieksport ke pasaran antarabangsa, sekali gus meletakkan industri pertahanan Malaysia setanding dengan teknologi global.
Langkah itu, katanya, selaras dengan hasrat Kementerian Pertahanan untuk memperkukuh industri tempatan, meningkatkan pemindahan teknologi dan mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi melalui penguasaan kepakaran tempatan.
“Birdie-X bukan sekadar sebuah sistem senjata tetapi langkah penting ke arah memperkukuh kedaulatan teknologi pertahanan negara. Menerusi sokongan berterusan Kementerian Pertahanan, ia berpotensi menjadi salah satu projek kebanggaan Malaysia yang mencerminkan kemampuan anak tempatan membangunkan teknologi pertahanan bertaraf dunia,” katanya. – UTUSAN






