SANDAKAN: Sebanyak 28 rumah atas air jenis tidak kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Nunuyan Laut, Pulau Nunuyan Laut di sini awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.50 pagi sebelum menggerakkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bersama bantuan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer.
“Api berjaya dikawal pada 5.45 pagi dan tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 162 rumah berhampiran daripada terjejas,” menurut kenyataan itu.
Perjalanan ke lokasi kejadian melibatkan laluan darat sejauh enam kilometer dari Balai Bomba Sandakan ke Jeti Maritim sebelum meneruskan perjalanan laut sejauh 12 kilometer menggunakan bot APMM.
Kebakaran itu membabitkan kawasan berukuran 30 meter x 200 meter, dengan tiupan angin kuat di kawasan pulau menyulitkan pergerakan anggota serta menyebabkan api merebak dengan pantas.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka daripada air laut menerusi satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan.
“Pasukan bomba masih meneruskan kerja-kerja pemadaman dan pemantauan di lokasi bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya, sekali gus mengelakkan risiko api merebak semula,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA





