PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana tidak dapat menyertai sidang khas bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) selain mendoakan agar persidangan berjalan lancar.
Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam itu terus dipelihara.
“Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau serta atas ingatan dan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-79 semalam.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar selamat menjalani pembedahan laparoskopi bagi merawat masalah hernia perut.
Prosedur berkenaan dilakukan secara elektif oleh pasukan pakar perubatan dan kini beliau sedang menjalani proses pemulihan serta fisioterapi. – UTUSAN






