IPOH: Polis Perak merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM46.3 juta sepanjang tempoh lapan bulan tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, antara dadah yang mencatat jumlah rampasan tertinggi sepanjang tempoh berkenaan ialah syabu, ekstasi, heroin dan ganja.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 12,916 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di seluruh negeri.
“Bagi kes pengedaran dadah, seramai 1,934 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dan angka itu meningkat sebanyak lapan peratus atau 139 orang berbanding 1,795 orang bagi tempoh sama tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 299 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini
Mengulas lanjut beliau berkata, seramai 68 individu pula ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985, yang kebanyakannya dipercayai dalang, perancang dan pembiaya sindiket dadah yang ditumpaskan tahun ini.
“Bagi kes memiliki dadah pula, seramai 4,482 orang ditangkap, iaitu penurunan sebanyak 0.01 peratus berbanding 4,509 orang bagi tempoh sama tahun lalu.
“Manakala, bagi tangkapan kesalahan urin, seramai 6,432 orang telah ditangkap, iaitu penurunan sebanyak empat peratus berbanding 6,697 orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk daun ketum dan ubat batuk bernilai RM4.08 juta yang membabitkan sebanyak 5,000 kertas siasatan bagi kes dari tahun 2000 hingga 2025 yang telah selesai perbicaraan.
“Kesemua eksibit berkenaan akan dilupuskan hari ini dengan dihantar kepada syarikat Clinco Waste Management Sdn. Bhd. di Kawasan Taman Perindustrian Tungzen, Mukim Sungai Raia, Kampung Kepayang, Perak.
“Kesemua eksibit tersebut merupakan hasil serbuan dan rampasan yang telah dijalankan sebelum ini serta selesai melalui segala prosiding mahkamah,” katanya. – UTUSAN






