ALOR SETAR: Cubaan dua pemuda menguji kehebatan motosikal masing-masing dengan berlumba secara haram berakhir dengan penahanan mereka dalam Operasi Cegah Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, kelmarin.
Mereka yang berusia 20 dan 22 tahun itu dipercayai berlumba menggunakan motosikal Yamaha LC135 dan Yamaha Y15Z kira-kira pukul 6 petang sambil disaksikan ratusan penonton.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai penganggur dan kelindan lori itu ditahan dalam operasi yang dijalankan dari pukul 4 petang hingga 11 malam.
Katanya, operasi bersepadu itu melibatkan 47 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar susulan aduan penduduk yang resah dengan kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan.
“Kita percaya kawasan itu dijadikan ‘port’ untuk berlumba sejak kira-kira tiga minggu lalu berikutan keadaan jalan yang baik selain mempunyai laluan lurus sejauh tiga kilometer.
“Dua pemuda terbabit ditahan sebaik dikesan berlumba pada kelajuan dipercayai melebihi 100 kilometer sejam. Mereka dipercayai berlumba untuk suka-suka tanpa membabitkan sebarang pertaruhan,” katanya pada sidang akhbar di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Setar, di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua motosikal berkenaan telah diubah suai daripada spesifikasi asal, termasuk penggunaan tayar lebih kecil serta struktur motosikal yang dipanjangkan dan direndahkan.
Beliau berkata, pengubahsuaian berkenaan dipercayai antara ciri yang digunakan bagi tujuan perlumbaan haram selain semakan juga mendapati seorang daripada suspek pernah ditahan pada Mei lalu di Seberang Perai, Pulau Pinang atas kesalahan pengubahsuaian motosikal.
Kedua-dua suspek direman selama sehari semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi sama, polis memeriksa 272 motosikal membabitkan 247 individu dan mengeluarkan 213 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Sebanyak 25 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan, termasuk pengubahsuaian struktur dan spesifikasi asal kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan. – UTUSAN



