PENAMPANG: Datuk Ewon Benedick kekal menerajui Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai Presiden bagi penggal baharu selepas jawatan itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan KDCA, di sini, hari ini.
Datuk Donald Peter Mojuntin turut kekal sebagai Timbalan Presiden, manakala lima Naib Presiden iaitu Jairaiaz Joseph, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Pangiran Lalung, Datuk Basari Sarikun dan Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu dipilih tanpa pertandingan.
Ewon berkata, beliau menghormati amalan demokrasi serta keputusan yang dibuat perwakilan dalam pemilihan berkenaan.
Menurutnya, keputusan itu perlu dilihat sebagai usaha mengukuhkan parti dan bukan melemahkan kesatuan dalam UPKO.
“Pemilihan ini seharusnya mengukuhkan parti kita, bukan melemahkan parti. Semua ahli parti kita merupakan keluarga besar UPKO,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan persidangan itu.
Beliau berkata, enam usul yang dibawa dalam persidangan turut diluluskan selepas dibahaskan perwakilan.
Katanya, barisan kepimpinan baharu bertanggungjawab menyampaikan resolusi parti kepada pimpinan kerajaan, khususnya Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pimpinan dan wakil rakyat UPKO juga akan mengangkat pendirian serta resolusi parti untuk dibawa dalam perbahasan di Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Ewon berkata, sebagai anggota Kabinet Sabah, beliau turut bertanggungjawab menyampaikan pendirian dan keputusan parti dalam kerajaan.
Dalam pada itu, katanya, UPKO akan meneruskan penambahbaikan struktur parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi (AMT), biro, CLC dan bahagian di seluruh negara.
“Kita sedang mempersiapkan parti, bukan untuk pilihan raya semata-mata, tetapi bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan memberikan khidmat terbaik kepada negara, negeri Sabah serta rakyat secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN






