IPOH: Seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan sejumlah dadah di lokap Balai Polis Lumut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, anggota berusia lingkungan 30-an itu ditahan susulan pemeriksaan yang dijalankan di lokap tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki yang merupakan orang kena tuduh (OKT) dan rampasan dadah disyaki methamphetamine, heroin dan kanabis.
“Ketika pemeriksaan, kita menjumpai 16 bungkus tiub plastik mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 109.54 gram, 16 bungkus tiub plastik berisi bahan disyaki heroin (110.37 gram) dan 23 bungkus tiub plastik mengandungi daun-daun kering disyaki kanabis (142.31) gram.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM18,534,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati dua OKT berusia lingkungan 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis berkenaan pula negatif.
Katanya, ketiga-tiga tangkapan kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam hingga 18 Ogos depan bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dadah berkenaan boleh berada di dalam lokap serta penglibatan setiap individu yang ditahan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah, termasuk sekiranya melibatkan mana-mana pihak yang berada dalam premis atau persekitaran kepolisan.
“Siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan fakta serta bukti yang diperoleh,” katanya. – UTUSAN






