KOTA BHARU: Perkahwinan lewat dan peningkatan kos sara hidup antara faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan, sekali gus memberi kesan terhadap pertumbuhan penduduk negara.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, kecenderungan berkahwin pada usia lebih lewat serta sikap menangguhkan kehamilan menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian.
Katanya, berpandukan kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan jumlah (TFR) di Malaysia menurun daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 anak pada 2022, iaitu mencatat rekod kelahiran rendah.
“Kita lihat salah satu faktor yang boleh menyebabkan jumlah penduduk berkurangan adalah kecenderungan perkahwinan yang lewat, iaitu berusia 27 tahun bagi perempuan dan lelaki hampir 30 tahun.
“Begitu juga kadar kesuburan perempuan adalah ketika berusia 15 hingga 35 tahun, selain bersikap menangguhkan untuk mendapatkan anak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Institut Pengurusan Peladang, Panji, di sini hari ini.
Abdul Shukur memberitahu, cabaran kos sara hidup turut menyebabkan sebahagian golongan muda memilih untuk menyambung pengajian sebelum mendirikan rumah tangga.
Katanya, ekosistem sokongan menyeluruh perlu diwujudkan bagi membantu golongan muda membina kestabilan kewangan, kesedaran kesihatan dan perancangan kerjaya lebih awal.
“Kita tahu Malaysia menyasarkan jumlah penduduk seramai 70 juta orang menjelang tahun 2100 melalui Dasar Kependudukan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1984,” ujarnya.
Abdul Shukur berkata, Kelantan mempunyai sekitar 1.91 juta penduduk pada 2025, dengan 219,100 orang atau 11.5 peratus berusia 60 tahun dan ke atas.
Katanya, kira-kira 578,500 orang atau 30.6 peratus penduduk Kelantan pula terdiri daripada golongan muda berumur 15 hingga 30 tahun.
“Perkembangan demografi ini menunjukkan bahawa Kelantan sedang berhadapan dengan dua keperluan penting secara serentak, iaitu memastikan warga emas dapat menikmati proses penuaan yang sihat, aktif dan bermaruah, serta memastikan golongan muda mempunyai persekitaran yang kondusif untuk membina kehidupan dan keluarga,” katanya. – UTUSAN





