MELAKA: Jangan salahkan rakyat apabila sokongan merosot, sebaliknya jadikan kekalahan sebagai cermin untuk menilai semula kelemahan dan memperbaiki pendekatan politik.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kepimpinan muda parti perlu berani menerima keputusan pengundi dengan hati terbuka dan melihatnya sebagai isyarat penting mengenai perkara yang masih belum diyakini rakyat.
“Kekalahan perlu dijadikan cermin untuk kita menilai semula strategi dan memperbaiki kelemahan diri serta parti, bukannya alasan untuk menyalahkan rakyat yang membuat pilihan.
“Rakyat perlu difahami berdasarkan kebimbangan, pengalaman dan harapan mereka kerana pilihan yang dibuat dalam pilihan raya mempunyai sebab dan pertimbangan tersendiri,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perasmian Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Zaliha Mustafa; bekas Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim dan Datuk Seri Dr. Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbi Muda.
Dalam majlis itu, AMK turut melancarkan Jentera Pilihan Raya AMK Melaka sebagai persiapan memperkasa barisan pemuda menghadapi cabaran politik akan datang.
Muhammad Kamil berkata, politik berasaskan prestasi semata-mata tidak memadai, sekiranya parti gagal membina naratif yang mudah difahami serta mampu menyentuh kehidupan dan keresahan rakyat.
“Politik bukan hanya tentang apa yang benar tetapi sejauh mana kebenaran itu dapat difahami dan dirasakan oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata, usaha meraih semula keyakinan rakyat tidak akan berhasil jika parti hanya sibuk mencari alasan atau menuding jari selepas menerima keputusan yang tidak memihak.
“Tugas kita bukan mempertikaikan kebijaksanaan mereka tetapi memahami sebab di sebalik pilihan tersebut dan mencari jalan untuk meraih kembali kepercayaan mereka,” katanya.
Muhammad Kamil berkata, AMK perlu kembali mendengar denyut nadi akar umbi dan memahami kehendak sebenar golongan muda serta masyarakat secara keseluruhannya.
Menurutnya, agenda reformasi perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar dan perkhidmatan yang benar-benar dirasai rakyat, bukan sekadar pencapaian yang dilaporkan melalui angka.
“Rakyat mahukan keputusan dan keprihatinan yang nyata. Justeru, keberanian untuk mengakui kekurangan dan memperbetulkan pendekatan adalah langkah pertama untuk kita kembali bangkit dengan lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN






