IPOH: Pengasas pusat asuhan kanak-kanak dan remaja berumur lima tahun hingga 15 tahun iaitu Muhammad Care Centre (MCC) tidak menyangka idea mewujudkan kerjaya melibatkan pengasuh lelaki, selain wanita sedia ada ternyata berjaya, selain mula menerima respons positif masyarakat.
Menurut Erze Zullis Mohd. Rosazmi, 44, semuanya bermula dengan hasrat arwah ibunya yang ingin dia mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak sebelum meninggal dunia.
“Arwah ibu memaklumkan saya seorang yang sukakan kanak-kanak dan ada potensi membuka pusat asuhan kanak-kanak. Saya tidak menoleh ke belakang dan terus berusaha merealisasikannya.
“Alhamdulillah, pada November 2019, saya berjaya mewujudkan MCC yang sehingga kini telah mempunyai tiga cawangan di lokasi strategik di sekitar Ipoh,” katanya kepada Nexbyte di sini kelmarin.
Katanya, bagi menampilkan ciri-ciri pusat asuhan yang berbeza namun menetapkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pusat jagaan swasta berdaftar yang lain, dia turut mempunyai tiga pengasuh lelaki termasuk dirinya sendiri selain pengasuh wanita.
“Asasnya kita perlu faham batas-batas pergaulan yang perlu dijaga selain bersikap profesional demi tanggungjawab yang digalas.
“Selain itu, mungkin daripada sudut seorang lelaki tenaganya lebih berbanding seorang wanita selain ada aura kepimpinan sebagai seorang suami atau ayah,” katanya yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
Di ketiga-tiga premis MCC terdapat televisyen litar tertutup (CCTV) untuk pemantauan secara berkala dan keselamatan.
Beliau berpendapat, pengasuh lelaki lebih sabar dan tegas apabila melibatkan isu-isu tertentu yang melibatkan perkembangan kanak-kanak dan remaja.
Bermulanya dengan modal sekitar RM40,000, Erze Zullis boleh tersenyum kerana perniagaannya itu mampu menjana pendapatan kasar yang mencecah lima angka setiap bulan.
“Pengalaman bekerja dalam sektor automotif, penerbangan dan perbankan banyak mengajar saya dalam bidang perniagaan malah sekarang mampu menggaji 12 pekerja yang kesemuanya merupakan anak negeri.
“Bandar raya Ipoh berkembang dengan pesat yang mewujudkan banyak peluang pekerjaan dengan prospek pelanggan saya ialah anak-anak yang terdiri daripada keluarga pelbagai tingkat pendapatan. Yuran yang dikenakan juga agak berpatutan. Perkembangan pusat jagaan kanak-kanak dan remaja di sini agak signifikan,” katanya.
Selain berperanan sebagai pusat asuhan, MCC hanya menerima kanak-kanak dan remaja beragama Islam, mereka turut menetapkan program kepimpinan, 1 bulan 1 surah, program 1 hari 1 ilmu selain melatih mereka menjadi pembicara dan imam solat fardu untuk menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.
“Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak iaitu bagi perakuan pendaftaran pusat di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 selain proses audit setahun sekali menjadi penanda aras untuk penambahbaikan secara berterusan.
“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) banyak melicinkan proses mendapatkan lesen premis perniagaan termasuk urusan pendaftaran dan kebenaran merancang. Bantuan utama ialah menerusi Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan (tanpa faedah) Yayasan Perak berjumlah RM20,000 selain saya dalam proses permohonan pinjaman kali kedua bernilai RM100,000 bagi menambahbaik fasiliti untuk keselesaan anak-anak dibawah jagaan MCC,” katanya.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati Flagship Kelima pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat – 1 Keluarga 1 Usahawan hasil cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif.
Selain itu, ia menepati Flagship Ke-15 iaitu Ipoh Bandar Ekonomi Donat 2027 yang bakal menjanjikan pembangunan seimbang kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat di bandar raya tersebut. – UTUSAN






