KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen yang bertanggungjawab menjalankan fungsi semak dan imbang tidak seharusnya menghentikan tugas hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri Sidang Dewan Rakyat.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bukan milik mana-mana Perdana Menteri atau parti politik, sebaliknya melibatkan kepentingan lebih 10 juta pendeposit TH.
Katanya, wakil rakyat mempunyai tanggungjawab meneliti fakta dan membongkar sebarang salah laku menerusi perbahasan di Dewan Rakyat.
“Kalau ada fakta, bahas. Kalau ada salah, bongkarkan. Sangat malang sekali kita di pihak pembangkang yang paling lantang membawa nama Melayu Islam memilih untuk memboikot perbahasan mengenai institusi terpenting bagi golongan Melayu Islam.
“Kita bukan memboikot menteri, kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji,” katanya di Dewan Rakyat.
Syed Saddiq yang kecewa dengan tindakan rakan pembangkang memboikot sidang khas itu berkata, atas dasar tersebut beliau memilih kekal di Dewan dan mengambil bahagian dalam perbahasan berasaskan fakta dan data.
“Parlimen bukanlah one-man show. Yang sakit Perdana Menteri, tetapi yang tidak buat kerja kita pula.
“Yang dibayar puluhan ribu ringgit melalui gaji, pencen dan pelbagai elaun hanya untuk memainkan peranan semak dan imbang. Tetapi kita gagal memainkan peranan tersebut,” katanya. – UTUSAN






