PETALING JAYA: Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 19 September depan telah dibatalkan.
Penganjur, DHYAH Production dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures berkata keputusan itu susulan masalah teknikal dalaman serta keadaan semasa yang menjuruskan kepada pembatalannya.
“Kami faham kekecewaan peminat yang telah menantikan kehadiran Radja di Kuala Lumpur.
“Keputusan ini dibuat dengan penuh berat hati dan setelah mengambil kira pelbagai aspek berkaitan penganjuran.
“Kami menghargai segala sokongan dan kefahaman yang telah diberikan,” katanya menerusi kenyataan.
Untuk pemulangan wang, semua pembeli tiket akan dihubungi menerusi e-mel dan urusannya boleh dibuat melalui platform penjualan tiket rasmi, myticket.asia.
Pembeli turut dinasihatkan menyemak e-mel masing-masing serta menyimpan bukti pembelian dan maklumat transaksi bagi melancarkan proses pemulangan wang.






