BUTTERWORTH : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM9 bilion di bawah inisiatif ‘Power Up 10K’ kepada kira-kira 250,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sehingga 31 Julai lalu.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM15 bilion yang disasar untuk disalurkan sepanjang tahun ini dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan PMKS secara lebih tersusun, bersasar dan berimpak tinggi.Ste
Pada masa yang sama katanya, seramai 5,000 usahawan masyarakat India juga telah menerima pelbagai pembiayaan berjumlah RM100 juta di bawah inisiatif Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) yang diperkenalkan KUSKOP tahun ini.
“Selaras dengan itu, sokongan strategik KUSKOP akan terus digerakkan melalui Strategi ABCD, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi memperkukuh daya tahan, daya saing dan keupayaan PMKS untuk berkembang serta menembusi pasaran yang lebih luas.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh, progresif dan inklusif, demi memastikan pertumbuhan perniagaan dan kesejahteraan rakyat dapat diperkukuh secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Agenda Pembangunan Ekonomi Muslim (APEM 3.0) di Seberang Jaya, hari ini. Hadir sama Presiden Liga Muslim Pulau Pinang merangkap Pengerusi Konvensyen APEM 3.0, Datuk Seri Najmudeen Kader.
Dalam pada itu, Steven turut menyambut baik penganjuran Konvensyen APEM sebagai platform tindakan strategik bagi memperkukuh penyertaan PMKS Muslim dalam ekosistem keusahawanan negara.
Tegas beliau, pembangunan PMKS memerlukan pendekatan menyeluruh yang boleh melonjakkan keupayaan usahawan melepasi kebiasaan, merangkumi akses pembiayaan, pembangunan kapasiti, integrasi teknologi, serta pemantapan jaringan pasaran.
“Usahawan hari ini memerlukan lebih daripada sekadar modal. Mereka memerlukan bimbingan, akses pasaran, jaringan perniagaan dan sokongan yang berterusan untuk berkembang secara mampan dan berdaya saing serta akhirnya menjadi pemain yang lebih besar dalam ekonomi negara.
“Oleh itu, matlamat kita adalah untuk memastikan lebih ramai usahawan berupaya melonjak ke peringkat seterusnya, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti serta menjadi komponen penting dalam rantaian nilai ekonomi negara,” kata beliau.-UTUSAN






