MELAKA: Proses libat urus bersama pihak berkepentingan bagi cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) sedang dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan dan input terbaik sebelum perkara itu dibawa ke peringkat seterusnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu merupakan komitmen kerajaan bagi memperkukuh kerangka perundangan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) selaras syor dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi institusi berkenaan.
“Semua kerja-kerja sudah pun dilaksanakan dan akan dipergiatkan lagi, insya-Allah. Kami rasakan ia akan dilaksanakan segera yang mungkin. Kita tunggu daripada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Zon Selatan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.
Beliau mengulas penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa Akta Tabung Haji 1995 akan dipinda sebagai antara langkah kerajaan memperkukuh tatakelola dan memastikan setiap kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.
Anwar berkata pindaan itu penting bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara selain memastikan institusi berkenaan diurus dengan tatakelola lebih kukuh.
Zulkifli dalam pada itu berkata, pihaknya menyerahkan sebarang tindakan berkaitan perkara lain yang dibangkitkan mengenai TH kepada pihak berkuasa kerana kementeriannya tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan tindakan penguatkuasaan.
“Kalau mengenai tindakan, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Saya tidak tahu, kita tanya pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, mengenai penganjuran J-KIS, katanya, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja mengenai isu sosial semasa.
Menurutnya, J-KIS yang kini memasuki siri kedua selepas dilaksanakan di zon utara akan diperluaskan ke seluruh negara.
“Kita ingin memberikan kesedaran kepada anak-anak kita berkenaan isu-isu sosial yang berlaku dalam negara. Kita panggil pakar-pakar dan mereka yang terlibat termasuk pihak berkuasa untuk berkongsi mengenai isu sosial semasa serta memberikan bimbingan dan panduan kepada anak-anak,” katanya.
Tambahnya, lebih 600 orang pelajar bersama guru dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor terlibat dalam program tersebut yang turut menyediakan reruai pameran bagi membolehkan peserta mendapatkan lebih maklumat. – UTUSAN



