KETIKA kebanyakan remaja seusianya baru melangkah ke kolej sebagai pelajar baharu, Nathan Thomas sebaliknya memasuki bilik kuliah di Kolej Miami Dade pada Ogos 2023 sebagai seorang profesor.
Peranannya sebagai tenaga pengajar di kolej itu akhirnya membolehkan beliau diiktiraf Guinness World Records pada Isnin lalu sebagai profesor lelaki termuda dunia.
Thomas berusia 18 tahun 346 hari ketika mula mengajar pada Ogos 2023, sekali gus memecahkan rekod berusia 306 tahun yang sebelum ini dipegang ahli matematik Scotland, Colin Maclaurin yang menjadi profesor pada usia 19 tahun.

Sebelum itu, Thomas memperoleh ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, kedua-duanya dengan kepujian.
Beliau mula mengikuti pengajian di Kolej Miami Dade ketika berusia 10 tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Antarabangsa Florida pada usia 14 tahun.
Pada 2023, Thomas mengajar kursus COP 2270: C for Engineers yang disifatkan sebagai kursus pengaturcaraan dan pengkomputeran yang kompleks.
“Apabila berada dalam persekitaran itu, semua orang berada di situ atas sebab yang sama, iaitu untuk belajar. Usia sebenarnya bukanlah ukuran.
“Saya hanya memberi tumpuan untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan membantu pelajar dalam apa juga cara yang saya mampu. Jika seseorang sanggup berusaha, itu sahaja yang penting bagi saya,” katanya.
Thomas berkata, minatnya terhadap bidang sains, teknologi dan kejuruteraan (STEM) dipengaruhi kedua-dua ibu bapanya yang merupakan jurutera, selain mengakui matematik menjadi subjek kegemarannya.
Beliau berkata, ibunya mempunyai teknik tersendiri untuk menjadikan sesuatu yang rumit kelihatan mudah dan pendekatan itu banyak mempengaruhi cara beliau belajar.
Menurutnya, perkara yang paling menggembirakan sebagai pendidik adalah saat melihat seseorang pelajar akhirnya memahami sesuatu konsep.
“Kepuasan itu berbeza daripada menyelesaikan masalah sendiri. Ia seolah-olah memberi peluang kepada saya untuk menghidupkan semula detik itu melalui pengalaman orang lain.
“Mengajar juga memaksa kita memahami sesuatu pada tahap yang jauh lebih mendalam. Sebab itu, saya merasakan perlu sentiasa belajar sama banyak, atau mungkin lebih lagi daripada para pelajar,” katanya.
Kini Thomas sedang mengikuti pengajian ijazah pengajian profesional di Fakulti Undang-Undang Universiti Miami dan dijangka menamatkan pengajian pada 2028.
Walaupun menyambung pengajian, beliau masih mengendalikan kelas secara dalam talian di Kolej Miami Dade.
Thomas berkata, beliau bercadang membina kerjaya dalam bidang undang-undang harta intelek dengan memberi tumpuan kepada sektor STEM.
“Bidang kejuruteraan mengajar saya cara menghuraikan masalah yang kompleks secara tersusun dan pendekatan itu banyak membantu saya ketika mengikuti pengajian undang-undang,” katanya.
Di sebalik pencapaiannya yang luar biasa, Thomas berkata, beliau masih menjalani kehidupan seperti kebanyakan belia lain.
Beliau gemar bermain bola keranjang, tenis dan golf, selain meminati pasukan Boston Celtics serta New England Patriots.
Beliau juga boleh bermain piano klasik, namun memilih mendengar muzik artis rap Drake ketika berehat.
Thomas bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu membandingkan perjalanan hidup masing-masing dengan orang lain.
“Perjalanan setiap orang itu berbeza walaupun matlamatnya mungkin kelihatan sama. Membandingkan garis masa hidup kita dengan orang lain hanya akan memperlahankan langkah kita dan menjejaskan keyakinan diri.
“Lebih baik kita mencari cara yang benar-benar sesuai dengan diri sendiri dan terus berusaha, sekalipun kemajuannya dirasakan bergerak perlahan.
“Hasilnya mungkin tidak dapat dilihat serta-merta, tetapi saya percaya ia akan datang jika kita terus berusaha,” katanya. –UTUSAN






