KUALA LUMPUR : Istana Budaya kembali membuka tirainya dengan Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2026 baru baru ini yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Kebangkitan semula Panggung Sari Istana Budaya sebagai Panggung Nasional Malaysia itu menyemarakkan agenda Kerajaan Madani sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pengisian rantaian seni persembahan pentas bertaraf dunia.
Menurut kenyataan Istana Budaya, setelah lebih dua tahun ditutup sejak Januari 2024 hingga Mei 2026 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bumbung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Istana Budaya menandakan kembalinya operasi sebuah bangunan ikonik negara melalui penyediaan ruang pentas Panggung Sari dan Lambang Sari.
“Pembukaan semula itu juga melambangkan kesiapsiagaan Istana Budaya sebagai sebuah institusi seni yang sentiasa berevolusi dalam memenuhi keperluan industri seni persembahan yang semakin dinamik, “ katanya.
Dalam landskap industri kreatif yang berkembang pesat, keunggulan sesebuah panggung tidak lagi hanya diukur melalui nilai seni bina dan sejarahnya, tetapi turut bergantung kepada keupayaan teknikal, kecekapan pengurusan produksi, tahap keselamatan serta kemampuan menyediakan infrastruktur yang mampu menyokong karya berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

Bagi tahun ini sebanyak lima program terbitan Istana Budaya telah dijadualkan dan antaranya adalah seperti berikut:
Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad (4 Julai 2026)
Nuansa Urban Rohani 2026 (25 Ogos 2026)
Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia (28 & 29 Ogos 2026)
NSO bersama Aubrey Suwito “Pop & Simfoni” (2 & 3 Oktober 2026)
Teater Muzikal Pengembaraan Sang Kancil (13 – 15 November 2026)
Panggung Sari Istana Budaya juga bakal merancakkan lagi warna sambutan VM2026 dengan menampilkan rantaian persembahan hebat dari syarikat/ produksi luar yang seperti berikut:
*Douglas Lim: Vital Stats (15 Ogos 2026)
* Beyond Words: L. Shankar & Samuel J. Dass Live In Concert (22 Ogos 2026)
*Teater Muzikal Mansur & Liu (10-13 & 16-20 September 2026)
*Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad (16 & 17 Oktober 2026)
*Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah II: Hikayat Dewa Mahkota (30-31 Oktober & 1 November 2026)
*Four Generations In One House (5-7 November 2026)
*Festival Filem Malaysia Ke-35 (21 November 2026)
*Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5 (Disember 2026)
*RUMI 819: Souls Across Civilizations A Malaysia-Iran Cultural Celebration (11-13 Disember 2026)
*Teater Legenda Puteri Santubong (18-20 Disember 2026)
Dua program telah pun berjaya dilaksanakan pada Julai lalu, iaitu Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad pada 4 Julai 2026 di Laman Beringin Istana Budaya dan Konsert Malaysia-Thailand bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) bersama Permata Seni Muzik pada 11 hingga 12 Julai 2026 di Lambang Sari.
Penganjuran program-program tersebut mencerminkan komitmen MOTAC dan Istana Budaya dalam menyediakan ruang persembahan bertaraf dunia di samping memperluas akses masyarakat kepada kepelbagaian seni persembahan dan memperkukuh hubungan kebudayaan serta kerjasama ke tahap antarabangsa.
Dalam pada itu, Istana Budaya juga menjadi lokasi bertuah seni bina kayu “Timber Flow: The Folded Crest”, karya pemenang Gold Winner – Curated Booth Award sempena ARCHIDEX 2025 yang diserahkan oleh Malaysian Timber Council (MTC) untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Berkeluasan kira-kira 60 meter persegi dan bernilai pembinaan sekitar RM135,000, instalasi ini diinspirasikan daripada tanjak tradisional Melayu serta mengetengahkan identiti dan warisan Malaysia melalui pendekatan seni bina kayu kontemporari. – UTUSAN






