PETALING JAYA: Semua pengendali platform media sosial diwajibkan mematuhi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) selepas tempoh beberapa bulan akan datang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan akan diambil sekiranya pengendali media sosial gagal mematuhi kedua-dua kod tersebut.
Katanya, tempoh berkenaan diperlukan bagi memberi ruang kepada pengendali platform memahami keperluan kedua-dua kod serta membuat penyesuaian terhadap sistem masing-masing.
“Sebelum ini, mereka telah meminta sedikit masa. Pertama, untuk memahami sepenuhnya kod-kod yang dimaksudkan dan kedua untuk mengoperasikannya.
“Jadi, kita beri mereka sedikit masa, mungkin tempoh beberapa bulan untuk melaksanakannya.
“Apabila kedua-dua kod ini terpakai sepenuhnya, platform yang gagal mematuhinya boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda yang sangat tinggi,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen PIBG Internet Selamat, di sini, hari ini.
Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini berada di Singapura bagi mengadakan perbincangan dengan beberapa pengendali platform, termasuk YouTube, berkaitan penerimaan dan pelaksanaan CPC serta RMC.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebergantungan pengendali platform media sosial kepada kecerdasan buatan (AI) dalam proses penapisan kandungan khususnya membabitkan penggunaan bahasa tertentu.
Katanya, keterbatasan AI dalam memahami nuansa bahasa boleh menyebabkan kandungan berunsur jenayah atau buli siber terlepas daripada proses moderasi.
“Isu bahasa tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada AI. Alat itu tidak mampu memahami sepenuhnya konteks penggunaan ayat-ayat tertentu terutama yang memangsakan (membuli) orang lain.
“Tapi pihak TikTok malangnya telah mengambil satu sikap, mereka telah mengurangkan jumlah moderator manusia dan sekarang ini lebih memberi fokus kepada penggunaan AI,” katanya. – UTUSAN






