PUTRAJAYA: ASEAN perlu meningkatkan perdagangan sesama negara anggota yang ketika ini masih tidak melebihi 25 peratus bagi memastikan rantau itu mampu merealisasikan potensinya sebagai antara blok ekonomi terbesar dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN penting memandangkan rantau itu berkemungkinan menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 berdasarkan kedudukan dan perkembangan semasa.
“Kita nak lihat supaya perdagangan di antara negara-negara dalam ASEAN ini dipertingkatkan kerana setakat hari ini, perdagangan antara ASEAN tidak melebihi 25 peratus.
“Banyak perkara dan banyak perdagangan yang perlu kita pertingkatkan sesama negara dalam ASEAN,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari ASEAN ke-59, di sini hari ini.
Menurut Mohamad, ASEAN kini tidak lagi hanya bertumpu kepada isu politik, sebaliknya semakin memberi perhatian kepada usaha membentuk sebuah blok ekonomi yang mempunyai kekuatan dan pengaruh lebih besar.
Katanya, potensi ekonomi ASEAN perlu dimanfaatkan dengan meningkatkan hubungan perdagangan antara negara anggota, termasuk menerusi mekanisme yang dapat memudahkan pergerakan barangan merentasi sempadan.
“Kita mencari mekanisme yang membolehkan perdagangan ini dipertingkatkan dengan mengadakan apa yang dipanggil sebagai free movement of goods antara negara-negara ASEAN dan lain-lain.
“Ini akan memudahkan lagi perdagangan yang mahu kita tingkatkan antara negara-negara ASEAN,” katanya.
Mohamad berkata, peningkatan perdagangan intra-ASEAN juga penting bagi memastikan manfaat integrasi ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh negara anggota.
Katanya, Malaysia ketika menerajui ASEAN tahun lalu berjaya membawa pelbagai inisiatif dan resolusi yang menjadi asas kepada kesinambungan agenda ekonomi rantau berkenaan.
Beliau berkata, Filipina yang menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini pula meneruskan usul dan resolusi yang telah diputuskan melalui Deklarasi Kuala Lumpur serta ketika Malaysia memegang kepengerusian ASEAN.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan agenda ASEAN Community Vision 2045 dapat direalisasikan, susulan kepercayaan yang diberikan kepada negara itu sebagai permanent shepherd bagi visi berkenaan.
Katanya, antara keutamaan Malaysia ialah memastikan perdagangan terus menjadi asas penting kepada usaha memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.
“Dengan Malaysia diberi kepercayaan sebagai permanent shepherd ataupun pengerusi tetap ASEAN Community Vision 2045, kita mahu melihat supaya asas kita, iaitu perdagangan ini, dapat kita pertingkatkan dan kita jayakan bersama,” katanya. – UTUSAN






