BATU KAWAN : Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan kira-kira 8,000 pencarum akan menerima inisiatif daripada MyRiderID iaitu sistem pelekat keselamatan berbentuk imbasan kod QR yang dikhususkan kepada penunggang motosikal sehingga penghujung tahun ini.
Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr. Azlan Darus berkata, sistem itu secara umumnya bertujuan memperkukuh perlindungan dan keselamatan pengguna motosikal menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MyRider).
Katanya, MyRiderID penting dalam menyalurkan maklumat mengenai penunggang motosikal terutamanya jika berlaku sebarang kecemasan atau kemalangan yang memerlukan tindakan segera.
“Sekiranya berlaku kemalangan sebagai contoh, kita boleh ‘scan’ (imbas) kod QR tersebut dan maklumat berkenaan mangsa (penunggang motosikal) akan terus dapat diketahui.
“Untuk pengetahuan, pelbagai maklumat boleh dimasukkan dalam sistem itu (MyRiderID) dan salah satu maklumat penting itu ialah siapa yang perlu dihubungi jika berlaku kecemasan.
“Selain itu, maklumat-maklumat berkaitan perubatan juga boleh dimasukkan seperti alergi, jenis darah, atau apa-apa sejarah perubatan yang doktor perlu tahu sekiranya dia ditimpa kemalangan. Ini adalah antara inisiatif kita (Perkeso) dalam membantu para pencarum untuk memudahkan urusan mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran MyRiderID yang diadakan sempena Perlumbaan Cub Prix di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan di sini, hari ini.
Pada majlis yang sama, kira-kira 1,000 pencarum Perkeso khususnya yang menunggang motosikal turut menerima MyRiderID secara percuma daripada Perkeso.
Turut diadakan sempena majlis pelancaran itu ialah pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Perkeso dengan syarikat Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dan MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.-UTUSAN






