IPOH: Polis sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang memuatnaik dakwaan berkaitan salah laku membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang dibuat pihak PKNPk dengan kes itu disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, siasatan dibuat berdasarkan laporan tersebut dan kita masih dalam proses mengenal pasti pemilik akaun berkenaan.
“Kita juga masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd. Alwi berkata, tiada saksi dipanggil setakat ini kerana polis masih dalam proses mengenal pasti pemilik akaun terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.
Katanya, pihaknya juga belum menerima sebarang laporan daripada saksi atau mangsa lain berhubung dakwaan membabitkan syarikat berkaitan kerajaan negeri itu setakat ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran yang mendakwa berlaku salah laku termasuk perbuatan tidak bermoral dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Susulan itu, PKNPk telah membuat beberapa laporan dan aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM berhubung penyebaran dakwaan berkenaan.
PKNPk dalam kenyataan memaklumkan laporan dan aduan itu dibuat antara 30 Julai hingga 3 Ogos lalu selepas sebuah laman Facebook didakwa menyiarkan pelbagai tuduhan terhadap organisasi, pengurusan dan individu tertentu secara berterusan. – UTUSAN






