GEORGE TOWN : Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pulau Pinang perlu segera mengadaptasi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan mereka kekal kompetitif serta mampu menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC).
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik berkata, keperluan untuk berbuat demikian dianggap semakin penting memandangkan Pulau Pinang kini mempunyai kira-kira 350 buah MNC yang turut melibatkan ribuan PKS dalam rantaian industri mereka.
Menurutnya, kebanyakan MNC pula amat menitikberatkan aspek ESG ketika memilih vendor atau pembekal, sekali gus menyebabkan PKS tempatan berdepan risiko kehilangan peluang perniagaan sekiranya gagal memenuhi keperluan berkenaan.
“Jadi, apabila MNC ini datang untuk bertapak di Pulau Pinang, kita akan minta InvestPenang menyediakan senarai vendor atau PKS tempatan yang berkaitan dengan industri tersebut untuk dipanjangkan kepada mereka.
“Bagaimanapun, apabila melalui proses temu duga, kebanyakan syarikat kita tidak memenuhi aspek ESG atau pensijilan berkaitan. Akhirnya, MNC terpaksa membawa vendor mereka sendiri dari luar negara seperti Korea dan Singapura,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program ‘Accelerating ESG Adoption: Policies, Strategies, Grants’ anjuran Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Choon Aik berkata, pihaknya telah berbincang dengan Penang Green Council (PGC) bagi membolehkan inisiatif untuk menyediakan garis panduan serta membantu PKS tempatan mempraktikkan ESG diambil.
“Sebenarnya, kos menyediakan laporan ESG yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit ini menjadi antara cabaran utama kepada PKS dan perlu ditangani menerusi penyediaan khidmat profesional pada kadar lebih mampu milik.
“Oleh itu, saya sudah minta PGC untuk meneroka bidang ini. Mungkin sebagai GLC kerajaan negeri, mereka boleh membantu atau mendapatkan pengiktirafan sebagai konsultan untuk menawarkan khidmat profesional ESG pada harga yang lebih mesra PKS,” katanya.-UTUSAN






