SHAH ALAM: Polis telah menerima arahan pertuduhan berhubung kes kematian seekor anjing semasa operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, Julai lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, arahan diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pendakwaan dijadualkan di Mahkamah Majistret Klang esok.
“Pertuduhan dijangka bukan sahaja membabitkan polis, malah agensi penguat kuasa lain,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di sini hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan dan mematuhi arahan polis di mahkamah serta menghormati proses perundangan yang dilakukan.
“Siasatan polis membawa kepada arahan pertuduhan. Kita tidak berpihak kepada mana-mana pihak, kita menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Justeru, kepada masyarakat, beri kepercayaan dan ruang kepada perundangan untuk melaksanakan bahagiannya,” katanya. – BERNAMA





