MELAKA: Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka mahu kerjasama antara Pas dan UMNO diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi bagi memperkukuh kekuatan politik Melayu-Islam di negeri ini.
Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka, Zulhilmi Suboh berkata, pendirian itu diputuskan secara sebulat suara menerusi Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka Ke-51 yang berlangsung di Jasin semalam.
Menurut beliau, ketetapan berkenaan membuktikan Pemuda Pas Melaka melihat kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan sebagai satu keperluan dalam menghadapi PRN akan datang.
“Dalam muktamar, kita telah meluluskan usul supaya kerjasama antara Pas dan UMNO diteruskan, khususnya dalam menghadapi PRN Melaka yang tidak lama lagi.
“Usul ini mendapat sokongan sebulat suara daripada perwakilan dan kita akan membawa ketetapan ini kepada pimpinan PAS negeri untuk tindakan serta perbincangan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Zulhilmi berkata, kerjasama tersebut penting bagi menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam, selain memastikan terdapat kesepakatan dalam menentukan hala tuju politik negeri.
Katanya, pendekatan berkenaan juga selari dengan usaha penyatuan ummah yang terus dibawa oleh kepimpinan Pemuda Pas di peringkat nasional.
“Kita melihat kerjasama ini bukan sekadar soal pilihan raya, tetapi satu usaha untuk menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam demi kestabilan dan masa depan Melaka.
“Justeru, kita berharap pimpinan kedua-dua parti dapat melihat perkara ini dengan serius dan mencari titik persamaan terbaik demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda Pas Melaka bersedia memainkan peranan dalam menggerakkan usaha penyatuan tersebut di peringkat akar umbi sekiranya mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi parti.
Mengulas sasaran menghadapi PRN Melaka, Zulhilmi berkata, pihaknya akan terus memperkukuh jentera dan gerak kerja parti di semua kawasan selain memastikan anggota dan penyokong berada dalam keadaan bersedia.
“Kita akan terus bekerja di peringkat akar umbi dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat. Apa yang penting sekarang ialah persiapan menghadapi PRN dan memastikan kekuatan yang ada dapat disatukan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan muktamar itu akan dikemukakan secara rasmi kepada Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka untuk pertimbangan dan tindakan lanjut ke Pas Pusat.
“Pemuda PAS Melaka akan terus menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan ummah, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya. –UTUSAN






