PUTRAJAYA: Proses pendaftaran peserta bagi program RXZ Members perlu dilaksanakan dengan lebih teliti bagi memastikan pihak penganjur dapat memainkan peranan mereka dan bertanggungjawab terhadap peserta yang menyertai program itu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu antara cadangan yang dikemukakan pihaknya kepada penganjur dalam sesi libat urus yang diadakan semalam.
Menurut beliau, pihak JPJ juga telah mengemukakan beberapa pandangan dan cadangan bagi tujuan penambahbaikan penganjuran program pada masa hadapan.
“Antaranya seperti proses pendaftaran itu perlu dibuat dengan lebih teliti, yang mana peserta-peserta diminta untuk membuat pendaftaran, memberikan maklumat-maklumat yang diperlukan seperti lesen memandu, LKM (lesen kenderaan motor) dan sebagainya.
“Jadi ini adalah penting untuk kita (dan) untuk pihak penganjur juga boleh bertanggungjawab dengan peserta-peserta yang akan hadir ke program-program akan datang,” katanya ketika ditemui pada sesi libat urus bersama media di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, penganjur RXZ Members perlu melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara bagi memastikan aspek keselamatan serta kelancaran trafik diberi perhatian sewajarnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pihak penganjur tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh JPJ, malah bersedia untuk melaksanakannya.
Jelasnya, langkah itu juga tidak dianggap terlambat kerana penganjur sebelum ini sudah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan peserta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Namun, ada segelintir ini yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang mencemarkan imej program tersebut. Sebenarnya pihak penganjur bila mereka nak buat program ini, mereka memang dah berjumpa dengan JPJ dan juga PDRM (Polis Diraja Malaysia) sebelum program tu berlangsung,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa isu yang timbul disebabkan ketidakpatuhan segelintir peserta.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mencadangkan supaya proses pendaftaran peserta diperkemas dan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh bagi memastikan program seumpama itu dapat dianjurkan dengan lebih teratur pada masa akan datang. – UTUSAN






