Tiga pemain utama bawah 12 tahun, Puteri Nelissa Aishah Muhammad Anwar sebagai penyerang (GA), Nur Farisya Amani Salman pada posisi pertahanan (GD) dan Ayesha Mohd. Fadzli sebagai penjaring (GS) membantu menobatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya muncul juara Kejohanan Bola Jaring Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut baru-baru ini.
Kejohanan tersebut diadakan di gelanggang Pejabat Belia dan Sukan Jerantut, Pahang.
Ini juga membolehkan Puteri Nelissa Aishah dan Nur Farisya Amani dipilih sebagai pemain terbaik, manakala Ayesha sebagai penjaring terbaik dalam kejohanan tersebut.
Ketiga-tiga mereka dengan itu terpilih mewakili MSSD Jerantut bersama dua lagi pemain sekolah tersebut ke pertandingan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) tidak lama lagi.
Pada peringkat perlawanan akhir, pasukan bola jaring SK Jerantut Jaya menumpaskan SK Felda Tekam Utara dengan jaringan 8 – 7, manakala di peringkat separuh akhir mengalahkan SK Felda Kota Gelanggi Dua dengan jaringan 12 – 6. Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamalludin Baharun berkata, kesungguhan, kecekalan serta disiplin pemain di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman sekolah, Nurul Amalina Mohd. Rodzuan membolehkan pasukan itu muncul juara mengatasi 31 buah sekolah lain pada peringkat daerah.
“Kejayaan pasukan ini juga kerana guru serta jurulatih menjadikan permainan bola jaring antara aktiviti utama kokurikulum selain kerap mengadakan pertandingan pada peringkat sekolah melibatkan murid Tahap Dua dan perlawanan persahabatan dengan sekolah lain,” katanya di Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Selepas kejohanan tersebut latihan akan diteruskan pada waktu petang untuk memilih bakat baharu pemain bagi persiapan kejohanan yang sama pada tahun hadapan-UTUSAN




