PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung kes rasuah melibatkan Datuk Dr Xavier Jayakumar yang dibuka pada 2021 telah selesai.
Menurut Suruhanjaya itu, keputusan tersebut dibuat selepas SPRM menjalankan penelitian dan siasatan secara menyeluruh terhadap maklumat serta keterangan yang diperoleh berhubung kes berkenaan.
Katanya, sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka pada 2021 di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan setelah siasatan dan penelitian terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan dilaksanakan.
“Timbalan Pendakwa Raya telah membuat keputusan Kemas Untuk Simpan (KUS) kes tersebut pada 2024 kerana tiada keterangan mencukupi untuk menuduh Datuk Dr Xavier,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, bekas Ahli Parlimen, Kua Kia Soong mempersoalkan status siasatan rasuah terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Langat itu memandangkan tiada pengesahan sama ada beliau didakwa, disabitkan kesalahan atau dibebaskan daripada sebarang salah laku.
Kua, yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995 mendakwa, ketiadaan penjelasan telah mewujudkan jurang akauntabiliti serta menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti institusi yang bertanggungjawab menyiasat rasuah.
Pada masa sama, SPRM berkata, tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada kompleksiti kes serta keperluan untuk mendapat, meneliti dan mengesahkan maklumat serta keterangan yang berkaitan.
SPRM menegaskan bahawa setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berdasarkan fakta serta keterangan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan telah selesai,” katanya.
Xavier baru-baru ini mengesahkan kembali menyertai PKR, lima tahun selepas meninggalkan parti itu ketika masih menjadi pembangkang.
Beliau kemudiannya menyokong pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Parlimen bebas.
Pada 2022, beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia namun tidak mendedahkan sebab meninggalkan PKR atau menyertai parti baharu itu.
Ketika meletakkan jawatan daripada PKR, Xavier sedang disiasat SPRM susulan penahanan rakan karibnya, M A Thinagaran.
Thinagaran ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat bagi projek yang dianugerahkan kepada mereka oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 2019, ketika Xavier mengetuai kementerian itu sebagai menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Laporan awam terakhir pada Mac 2022 menyebut bahawa siasatan SPRM terhadap Xavier masih berjalan. – UTUSAN






