PETALING JAYA: Malaysia perlu mencontohi polisi diamalkan Eropah yang meletakkan tanggungjawab menyediakan infrastruktur termasuk pengecas awam kepada syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong ekosistem pasaran tempatan.
Syarikat pengeluar kenderaan EV juga perlu menyediakan peluang pekerjaan berimpak tinggi khususnya bagi anak-anak tempatan sekali gus menyokong pemindahan teknologi yang boleh memajukan industri EV domestik.
Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah berkata, Malaysia membuka luas pasaran kenderaan EV sejak empat tahun lalu kepada syarikat pengeluar global khususnya dari China.
Sepanjang tempoh itu lebih 50 model kenderaan EV diperkenalkan di negara namun ekosistemnya kekal tidak berubah iaitu tiada peluang pekerjaan kepada syarikat tempatan mahu pun rakyat serta kemudahan infrastruktur seperti pengecas awam.
“Sehingga hari ini, kira-kira 6,000 pengecas awam dibina di seluruh negara namun ia disediakan oleh syarikat swasta bukannya pengeluar kenderaan EV itu sendiri. Namun, perusahaan pengecas awam kini tidak begitu baik kerana pengguna sudah ada pilihan iaitu memasangnya di rumah.
“Kadar penggunaannya di Malaysia sangatlah rendah sehingga keuntungan diperolehi mereka terhad. Hanya pada musim tertentu seperti cuti sekolah dan perayaan kadar penggunaannya memuncak sehingga menimbulkan rungutan.
“Syarikat pengeluar kenderaan EV perlu mengambil tanggungjawab ini untuk menyediakan infrastruktur sokongan ekosistem mencukupi kerana mereka telah mengaut keuntungan besar terhadap pasaran kenderaan di negara,” katanya.
Kawasan-kawasan tertentu seperti Lebuhraya Utara-Selatan kemudahan pengecas awam tidak mampu memenuhi keperluan pemilik kenderaan EV sehinggakan terpaksa menunggu lama ketika musim puncak seperti pe rayaan dan cuti sekolah.
Pada masa sama, katanya, operator pengecas awam (CPO) juga sukar untuk menambahkan jumlah pengecas awam memandangkan keuntungan diperoleh mereka sangat perlahan.
“Atas alasan itu, di Eropah dan China sendiri, kebanyakan pengecas awam dipasang oleh syarikat pengeluar kenderaan EV,” katanya.
Selain itu, Dennis berkata, syarikat CPO juga berdepan halangan jumlah bekalan elektrik di pengecas awam dipasangnya sekiranya kadar penggunaaannya rendah di kalangan pemilik kenderaan.
“Ia bukannya salah TNB (Tenaga Nasional Berhad) kerana mereka juga sudah menyediakan jumlah bekalan tertentu tetapi jika tiada pengguna, sukar untuk bekalan elektrik diteruskan,” katanya.
Kelmarin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kemasukan kenderaan EV murah ke pasaran negara tidak boleh hanya tertumpu kepada penjualan, sebaliknya perlu disokong ekosistem lengkap termasuk kemudahan pengecas awam.
Katanya, kerajaan tidak menghalang perkembangan teknologi EV tetapi kemasukan teknologi baharu itu tidak boleh dilaksanakan secara agresif tanpa mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur negara.
“Kalau hendak membawa masuk EV murah ke negara ini, dua perkara perlu dipastikan. Pertama, pihak yang membawa masuk kenderaan itu mesti memastikan ekosistemnya turut diwujudkan.
“Kalau tiada ekosistem dan hanya mahu menjual kereta, ia akan menjadi masalah kepada rakyat yang membeli,” katanya. – UTUSAN






