BANGI : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi institusi pendidikan pertama yang menerima Program ToT QNX Everywhere daripada syarikat teknologi global, BlackBerry, dalam kerjasama yang turut merangkumi Pensijilan Profesional Keselamatan Siber UKM-BlackBerry.
Menurut kenyataan Komunikasi Korporat UKM. program berkenaan yang diselaraskan oleh Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM), dengan kerjasama Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), melibatkan 19 peserta dalam dua program utama.
Menurut kenyataan itu lagi, program pertama, UKM-BlackBerry Cybersecurity Pilot Training, memberi fokus kepada latihan train-the-trainer dalam bidang keselamatan siber, manakala program QNX melibatkan pembangunan pensyarah dalam teknologi QNX bagi membolehkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dipindahkankepada pelajar UKM serta menyokong peranan pensyarah sebagai mentor.
Daripada jumlah tersebut, 11 peserta melengkapkan latihan keselamatan siber yang membawa kepada Professional Certificate in Cyber Protection, manakala lapan peserta melengkapkan program QNX Everywhere – Secure Embedded Systems.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh menyifatkan kerjasama bersama syarikat BlackBerry sebagai sebuah inisiatif yang membawa impak besar kepada universiti.“Tumpuan universiti kini tidak lagi terhad kepada penawaran program ijazah mahupun pascasiswazah semata-mata, sebaliknya mula menjurus ke arah pengenalan program pensijilan profesional yang lebih fleksibel dan menepati keperluan industri.
“Hasil kerjasama antara pihak universiti dan industri mampu mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih menyeluruh yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan kita, malah kepada industri dan negara,” katanya.
Kerjasama UKM-BlackBerry merangkumi pembangunan bakat, latihan dan penempatan industri, transformasi kurikulum serta penyelidikan dan inovasi, termasuk penggunaan teknologi QNX dalam kajian kes industri, projek inovasi dan sokongan berterusan bagi mempersiapkan pelajar serta pensyarah.
Pendekatan QNX Everywhere pula menyediakan ekosistem pembangunan bakat yang menggabungkan latihan, sumber pembelajaran, pendedahan industri, pengalaman praktikal dan sokongan berterusan bagi mempersiapkan pelajar serta pensyarah menghadapi keperluan industri.
Salah seorang penerima sijil profesional yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di Digital UKM, Ts. Dr. Noraini Talib berkata program berkenaan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta menerusi silibus yang merangkumi aspek teori dan praktikal.
Program berkenaan dilaksanakan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan BlackBerry yang ditandatangani pada 27 Oktober 2025. –UTUSAN





