KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) cenderung bekerjasama dengan parti tempatan yang senada dalam perjuangan membela kepentingan rakyat Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti itu sedang meneliti beberapa pendekatan termasuk menerusi perbincangan awal dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Beliau berkata, sebarang kerjasama politik pada masa depan tidak seharusnya berlandaskan kedudukan atau kepentingan politik semata-mata.
Sebaliknya ia perlu mempunyai garis panduan yang jelas serta mengutamakan nilai dan keutamaan rakyat negeri ini.
“Keutamaan kami bukan sekadar kedudukan politik tetapi pencapaian nilai dan keutamaan rakyat.
“Mana-mana kerjasama politik pada masa hadapan mestilah mempunyai batasan yang jelas, jujur, serta mengutamakan integriti dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat Warisan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, Warisan kini memperincikan strategi kesiapsiagaan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Parti itu juga katanya sedang meneliti secara terperinci strategi kemenangan termasuk kemungkinan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah termasuk Labuan.
“Ahli Parlimen dari Sabah hanya mewakili 25 daripada 222 kerusi di Parlimen. Amat penting untuk kesemua 25 kerusi ini diwakili oleh pemimpin yang benar-benar membawa suara dan aspirasi rakyat Sabah,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga berkata, kerjasama antara parti tempatan juga penting bagi memastikan kepentingan Sabah dapat dibawa dengan lebih berkesan di peringkat Persekutuan, termasuk berkaitan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Warisan juga melihat kepentingan bersama Sabah dan Sarawak sebagai asas kepada usaha memperkukuh suara Borneo, khususnya dalam isu pembangunan dan hak negeri.-UTUSAN






