ALOR GAJAH: Beberapa syarikat dikesan mengambil kesempatan dengan mengecilkan kuantiti produk sebanyak 10 peratus, namun mengekalkan harga asal, sekali gus dilihat memperdaya pengguna secara halus.
Taktik itu terbongkar hasil pelaksanaan Op Kesan 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah pasar raya di Durian Tunggal di sini, semalam.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, walaupun tiada peningkatan harga dikesan secara langsung, pengurangan kandungan dianggap satu bentuk manipulasi.
“Apa yang berlaku, mereka tidak naikkan harga tetapi kecilkan kuantiti, contohnya, dulu pek 1,000 gram (g), sekarang hanya 900g, pek 500g kini tinggal 400g, tetapi harga masih kekal sama.
“Perkara ini kita anggap satu bentuk manipulasi pengguna. Jika rasa tertipu, orang ramai boleh terus buat aduan kepada KPDN Melaka melalui WhatsApp ke talian 019-8488000,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya didapati keuntungan yang diperoleh syarikat berkenaan tidak munasabah.
“Kalau kuantiti berkurang tetapi keuntungan masih melambung, itu boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Undang-undang ini bukan untuk menyekat perniagaan, tetapi bagi memastikan pengguna tidak ditindas dan peniaga pula tidak mengambil kesempatan melampau,” katanya.
Mohd. Hazimin berkata, KPDN turut memberi tumpuan kepada lima barangan asas dalam operasi kali ini iaitu roti putih, tepung gandum, susu pekat, sardin dan minuman malt coklat.
Katanya, ia dipilih memandangkan barangan itu antara produk asas yang terkesan susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu. – UTUSAN




